Tuesday 15 May 2018

Terima kasih dan minta maaf kepada rakyat Pahang – Dato’ Sri DiRaja Adnan


“Kepada rakyat negeri Pahang berbilang kaum – tua, besar, kecil sebagainya; saya ucap terima kasih dan saya minta ampun maaf kalau salah silap dalam saya menjalankan pentadbiran selama ini,” kata perpisahan bekas Menteri Besar Pahang ke-14
  
NASIHAT KEPADA PENGGANTINYA... Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Wan Rosdy kelihatan sedang berbincang sesuatu sebaik selepas Istiadat berkenaan. Yang turut kelihatan di belakang ialah Penasihat Undang-undang Negeri, Dato' Indera Shamsulbahri Ibrahim.   


BALAIRUNG SERI, ISTANA ABU BAKAR, PEKAN – Bekas Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyatakan terima kasih dan memohon ampun maaf kepada seluruh rakyat Pahang jika ada apa-apa kesilapan yang dilakukannya selama mentadbir negeri yang akan genap 19 tahun pada 25 Mei ini.

“Kepada rakyat negeri Pahang berbilang kaum – tua, besar, kecil sebagainya; saya ucap terima kasih dan saya minta ampun maaf kalau salah silap dalam saya menjalankan pentadbiran selama ini,” katanya dalam nada sebak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas berakhirnya Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) petang Selasa, 15 Mei di sini.

Pada Istiadat yang disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang yang diiringi KDYTM Tengku Puan Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail (BN – Jelai) telah dilantik sebagai Menteri Besar ke-15, mengantikan Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Lapan (8) yang lain pula dilantik sebagai Ahli MMK Negeri yang terdiri daripada Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin (BN – Lanchang); Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin (BN – Kuala Sentul); Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN – Kerdau);

DIKERUMUNI WARTAWAN... Atas sifat mesranya dengan wartawan tempatan, ada dalam kalangan wartawan khususnya wanita; kelihatan mengesat air mata tanda kesedihan atas tamatnya perkhidmatan Dato' Sri DiRaja Adnan yang kepada mereka, tanpa diduga. 

Awalnya, wartawan menjangkakan Dato' Sri DiRaja Adnan akan mengekalkan jawatannya untuk penggal kelima, ekoran kejayaan memenangkan BN Negeri pada Pilihanraya Umum (PRU)-14 dan pula dengan landskap politik negara yang berubah sepenuhnya dengan Kerajaan Pusat dikuasai Pakatan Harapan, begitu juga negeri-negeri lain kecuali Pahang dan Perlis. Namun, jangkaan itu meleset. 
  

LAPAN (8) ADUN DILANTIK MENJADI AHLI EXCO

Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman (BN – Guai); Dato’ Sri Johari Hussin (BN – Tioman); Dato’ Nazri Ngah (BN – Pulau Tawar); Encik Abdul Rahim Muda (BN – Lepar) dan, Dato’ Mohd Fakharuddin Arif (BN – Bebar).

Pelantikan-pelantikan ini sepertimana diumumkan oleh Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato' Sri Wan Wahid Wan Hassan, ialah bagi tempoh dua (2) tahun atau satu tempoh yang akan ditentukan oleh Paduka Baginda Tuanku. 
    
Berikut disiarkan secara ‘verbatim’, hasil temubual Dato’ Sri DiRaja Adnan dengan wartawan tersebut;

“Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana pada hari ini, selesai pelantikan YAB Menteri Besar Pahang dan YB Ahli Exco dan saya berasa syukur ke hadrat Allah kerana pengganti saya adalah Dato’ Sri Wan Rosdy, Ahli Exco yang telah berkhidmat di bawah saya selama dua (2) penggal.

“Beliau seorang yang jujur, amanah dan ikhlas dan saya percaya, pentadbiran negeri akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik. Saya selaku bekas Menteri Besar memberikan sokongan padu kepada pentadbiran Dato’ Sri Wan Rosdy dan kalau ada ruang yang saya boleh bantu beliau, saya akan bantu, insyaAllah.

Mengenai perancangannya selepas ini, kata Dato’ Sri DiRaja Adnan;

TAK PERNAH MERANCANG

“Seumur hidup saya saya tak pernah merancang – jadi ADUN ker, jadi Exco ker, jadi MB… Sampai saya bersara, saya tak pernah merancang. Jadi terserahlah kepada keadaan.

“Mungkin saya boleh main peranan sikit dari segi hubungan dengan Kerajaan Persekutuan sebab semalampun, saya dapat mesej daripada pihak Kerajaan Persekutuan bersedia untuk membantu.

“Tapi yalah, Menteri Besar, Menteri Besar baru jadi saya akan gunakan peluang itu untuk membantu Menteri Besar yang baru, insyaAllah.

“Kita perlukan kerjasama Kerajaan Persekutuan sebab kita perlukan peruntukan-peruntukan, projek-projek… Jadi, kita perlu ada hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan. Mungkin saya boleh menyumbang ke arah itu, insyaAllah. Membantu.  

Berkaitan soalan wartawan tentang kononnya, saiz MMK yang kecil pula, katanya:

TIME TO BOW OUT GRACEFULLY

“Bukan soal portfolio dikecilkan. Seorang ahli Exco boleh pegang empat (4) portfoliopun boleh.

“Sekarang ini, KDYMM Pemangku Raja Pahang mengambil keputusan untuk melantik lapan (8) orang dulu, selama dua tahun. Kemudian itu, mungkin ada penambah-baikan lagi yang boleh dibuat, insyaAllah.

Kepada soalan wartawan tentang kemungkinan ada sebab tertentu beliau tidak dilantik semula, katanya;  

“I don’t think so because, I have been around for so long. So it’s about time for me to bow out gracefully.

“I don’t see any reason whatsoever, any particular reason for my not being appointed, re-appointed as the Chief Minister. It is the prerogative of the Regent. It’s up to him to appoint whoever he desires.

BUKAN MASA BEDAH-SIASAT

Kemungkinan pula beliau mengetahu tentang perkara ini terlebih awal, katanya;

“Saya tahu awal… takkan saya tak tahu, takkan saya tak tahu. Saya ambil keputusan datang ‘to show the support to the new Menteri Besar. Saya tahu awal.

Atas kapasitinya selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri dan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri dan responnya tentang usaha bedah-siasat;

“Kita semalam, bermesyuarat MKT. Kita ambil keputusan hal-hal bedah-siasat, sebab-musabab itu kemudian. Kita nak kukuhkan parti dulu.

“Kalau nak kira bedah-siasat ini, ada 1,001 sebab kenapa kita kalah, dan 1,001 cara kita boleh bangkit balik. Ini bukan masanya untuk bedah-siasat, menuding jari kepada sesiapa. Yang penting kita kukuhkan parti. Dan kita akan sesuaikan keadaan, insyaAllah.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk merafak sembah, junjung kasih ke sisi Tuanku Sultan atas perkenan Baginda selama ini saya berkhidmat di bawah Baginda.

“Dan saya ucap tahniah kepada Menteri Besar yang baru dan juga ahli-ahli Exco yang baru dilantik dan saya percaya mereka akan dapat menunaikan tanggungjawab selaras dengan Titah DiRaja yang telah disampaikan oleh Pemangku Raja Pahang sebentar tadi”. – Khabar